Jangan Hebah Rundingan Jika Tidak Sepakat, Rafizi Diberitahu

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli diingatkan supaya menjaga adab dan etika ketika menyentuh isu perbincangan tertutup khususnya yang tidak mencapai kata sepakat, agar tidak diumumkan kepada umum.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, sebarang rundingan perlu diurus dengan penuh beradab dan beretika terutama jika kesepakatan belum dicapai.

“Jika Nurul Izzah pun tidak mengesahkan bahawa berlakunya rundingan tawaran, tiada apa yang hendak diulas.

“Namun, pada pandangan saya, sesuatu perbincangan tertutup ada adab dan etikanya.

“Maknanya, kalau perbincangan itu positif, maka bolehlah ia dihebahkan.

“Namun, jika tidak mencapai kata sepakat, eloklah ia tidak menjadi pengetahuan umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Bangkit bagi mengulas kenyataan Rafizi berhubung tawaran yang dikatakan diberikan oleh Nurul Izzah kepadanya semasa pra pemilihan pusat PKR.

Saifuddin turut berkata, tindakan Rafizi itu tidak mencerminkan imej PKR secara menyeluruh, kerana parti itu tidak berdiri atas kekuatan individu semata-mata.

“Tindakan Rafizi tidak mencerminkan imej PKR secara umumnya kerana parti ini tidak pernah bergerak atas kekuatan individu.

“Betul, seorang pemimpin ada kekuatan masing-masing, namun berdirinya PKR kini adalah hasil sumbangan setiap anggota, baik yang masih berada dalam parti mahupun yang telah meninggalkannya,” katanya.

Saifuddin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti PKR akan terus relevan kerana sifatnya yang dinamik dan sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan politik semasa.

PKR, katanya, sentiasa bersedia untuk belajar dan memperbaiki diri agar kekal sebagai parti reformasi yang berdaya maju.

“Saya tidak boleh mengawal apa yang Rafizi fikir beliau patut buat, tapi sebagai anggota parti, kita harus ‘toe to the line’ (patuh pada garis panduan dan keputusan parti).

“Pertandingan ada menang dan kalah. Saya sendiri gagal menempatkan diri dalam 20 teratas di Majlis Pimpinan Pusat. Namun kita harus terus bekerja dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” tambah beliau.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berpegang teguh pada pendiriannya untuk tidak menerima sebarang jawatan lantikan dalam PKR.

Beliau juga mendedahkan bahawa Nurul Izzah Anwar pernah menawarkan jawatan timbalan presiden kedua kepadanya.

Anda Mungkin Berminat