Wanita PKR Desak 6 Ahli Parlimen Pilih Parti Atau Keluar

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat tampil dengan kenyataan tegas terhadap enam Ahli Parlimen PKR yang hadir di majlis pengumuman Parti Bersama Malaysia (Bersama), mendesak mereka segera menghentikan tindakan bermuka dua atau berdepan tindakan disiplin parti.

Setiausaha Wanita PKR Pusat, Sangetha Jayakumar berkata, pendekatan politik sedemikian bukan sahaja menjejaskan kestabilan parti, malah mengkhianati kepercayaan anggota akar umbi yang telah lama berkorban demi perjuangan reformasi.

“Wanita PKR Pusat menegaskan bahawa kesetiaan kepada prinsip perjuangan PKR dan agenda reformasi adalah asas utama yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pimpinan mahupun ahli parti, terutamanya mereka yang diberi mandat oleh rakyat di atas tiket parti,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya memandang serius tindakan politik ‘dua kolam’ yang dimainkan oleh segelintir pimpinan.

Sehubungan itu, Wanita PKR mendesak enam Ahli Parlimen iaitu Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) untuk segera menghentikan tindakan politik berasaskan kepentingan peribadi.

“Kehadiran mereka di majlis pengumuman pimpinan Parti Bersama Malaysia menyebabkan kedudukan dan kesetiaan mereka dipersoal oleh kepimpinan serta akar umbi PKR,” katanya.

Sangetha turut menyarankan agar kesemua Ahli Parlimen tersebut melepaskan keanggotaan parti secara sukarela sekiranya idealisme mereka sudah tidak lagi seiring dengan prinsip Presiden dan KPI perjuangan PKR.

“Sekiranya desakan ini tidak diendahkan dan tindakan berbaur khianat ini terus berlarutan, Wanita PKR tidak akan teragak-agak untuk mendesak Lembaga Disiplin Parti dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil tindakan paling tegas termasuk memecat keanggotaan mereka demi menjaga keutuhan serta kesucian perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata, PKR tidak boleh dijadikan batu loncatan untuk survival politik individu.

“Pengajaran lalu telah mematangkan kita tiada ruang lagi untuk pengkhianatan berbentuk baharu di dalam rumah Reformasi ini,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat