Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tindakan bekas Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini jelas menunjukkan bukti ketidakstabilan dan sifat oportunis dalam karier politik dirinya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub memaklumkan bahawa gerak-geri politik licik Rafizi sudah boleh dijangka sejurus kekalahan teruknya dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR menentang Nurul Izzah Anwar pada Mei tahun lalu.
“Bermula daripada kita lihat pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila adanya persetujuan daripada Nur Izzah Anwar untuk menentang penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan kemudiannya apabilanya Rafizi tewas dan kritikan demi kritikan ketidakpuasan.
“Hari itu sebenarnya adalah tanda memperlihatkan bahawa akan ada gerakan politik baru yang akan diterajui oleh Rafizi,” katanya ketika dihubungi oleh Malaysia Bangkit pada Rabu.

Dr Tawfik Yaakub menyifatkan bekas menteri ekonomi itu telah mengulangi sejarah dalam medan politik negara iaitu keluar daripada partinya kerana tidak sehaluan lagi dengan pemimpinnya dengan alasan tidak boleh lagi bersama dan bertentang aliran politik.
“Mengulangi situasi ataupun keadaan yang sama seperti mana yang berlaku pada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau sebagai orang nombor dua keluar daripada PKR (pada ketika itu).
“Dan kemudiannya bertentang aliran politik dengan presidennya dan beliau mengambil jalan untuk mewujudkan platform yang baru maka tidak mustahil pada suatu hari nanti Rafizi juga boleh capai kemuncak kuasa dalam arena politik negara sebagai Perdana Menteri itu tidak mustahil,” katanya.
Dr Tawfik turut tidak menafikan bahawa tindakan Rafizi yang keluar parti itu mempunyai impak dan kesan serta kegoyahan ke atas PKR yang pasti akan berlaku.
“Kita tidak boleh nafi ada impak dan kesan serta kegoyahan berlaku kepada PKR akibat tindakan Rafizi meninggalkan PKR. Kerana Rafizi ini ada penyokong dan pengaruh yang besar juga dalam PKR.
“Manakan beliau pernah menang sebagai timbalan presiden pada suatu ketika dahulu dan apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pertandingan itu dan baru-baru ini beliau juga ada sokongan yang besar meskipun tewas,” katanya.

Lebih membimbangkan lagi apabila, Rafizi dikatakan memiliki aset politik yang besar menerusi penguasaan data, statistik, dan maklumat pengundi menerusi pusat penyelidikan yang ditubuhkannya iaitu Invoke, serta sistem PADU ketika berkhidmat dalam kerajaan.
Beliau turut menyifatkan itu sebagai satu senjata politik yang ampuh yang membolehkan Rafizi meneruskan survival politik beliau.
Sehubungan itu, Dr Tawfik menegaskan kepada seluruh pimpinan PKR untuk lebih berhati-hati agar dapat mengelakkan lebih ramai lagi ahli PKR bertindak meninggalkan parti.
“PKR jangan ambil mudah apa yang berlaku pada ketika ini khususnya apa yang dilakukan oleh Rafizi dan wakil rakyat
yang lain yang juga akan menyusul untuk bersama dengan Rafizi.
“Dan kita lihat walaupun ada yang isytihar, walaupun ada ahli yang akan isytihar keluar daripada PKR namun pada waktu yang sama ada ahli yang terus kekal dalam PKR mereka masih lagi ada simpati pengaruh yang besar daripada ketokohan Rafizi masih ada dalam PKR,” ujarnya.
Baca juga:








