Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Pengaruh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat belum cukup kuat untuk mengubah landskap politik negara secara menyeluruh, sebaliknya hanya berpotensi memberi kesan di kerusi-kerusi marginal yang mempunyai majoriti tipis.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, Rafizi sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri khususnya dalam kalangan pengundi bandar, golongan muda, berpendidikan dan aktif di media sosial.
Namun beliau berkata, pengaruh itu masih terbatas kepada segmen tertentu.
“Rafizi ada pengaruh, tetapi pengaruh itu hanya dalam kalangan pengundi bandar yang membuat pilihan berdasarkan isu seperti keadilan, ketelusan dan hak asasi.
“Namun, kelompok ini juga akan menilai sama ada parti atau gerakan yang disokong benar-benar mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Isnin.
Terdahulu, spekulasi mengenai hala tuju Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad terjawab apabila kedua-duanya diumum mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) daripada pengasasnya, Tan Gin Theam.
Mazlan berkata, dalam konteks politik semasa, pengundi lazimnya memberi keutamaan kepada gabungan besar yang mempunyai keupayaan realistik untuk menubuhkan kerajaan seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Faktor itu katanya, menyebabkan parti baharu walaupun popular di media sosial tetap berdepan kesukaran untuk menarik sokongan meluas.
“Popular di media sosial tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya.
“Tanpa jentera akar umbi yang kukuh dan sokongan di luar bandar, sukar untuk sesebuah parti kecil berkembang menjadi kuasa politik utama,” katanya lagi.
Menurut beliau, kesan terbesar Rafizi jika ada hanyalah dalam bentuk pemecahan undi di kerusi marginal khususnya di kawasan bandar yang majoriti kemenangan parti penyandang tidak begitu besar.
Sebaliknya, di kubu kuat PH yang mempunyai majoriti besar, pengaruh itu dijangka minimum.
“Di kawasan yang majoritinya besar, sedikit pengurangan undi tidak akan memberi kesan ketara.
“Tetapi di kerusi marginal, peralihan kecil undi boleh mengubah keputusan dan memberi kelebihan kepada pihak lawan,” jelasnya.








