PETALING JAYA: Dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran, Datuk Afdlin Shauki Aksan menerima keputusan rasmi Pemilihan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa 2025, yang menyaksikan beliau diberikan mandat sebagai Ketua Cabang yang baharu.
Kejayaan itu menurut beliau, bukanlah milik peribadi tetapi hasil usaha gigih jentera kempen yang bersatu dalam semangat memperkukuh parti.
“Kemenangan ini adalah suatu amanah yang amat besar dan ia bukan sekadar satu kejayaan peribadi tetapi simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baharu dalam kepimpinan tempatan, yang mahu politik yang menyentuh hati dan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.
Untuk rekod, Afdlin Shauki memperoleh 631 undi, mengatasi penyandang Nik Nazmi Nik Ahmad yang meraih 563 undi.
Afdlin berkata, kemenangan itu bukan untuk diraikan dengan sorak gembira tetapi sebagai titik mula perjuangan yang lebih besar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas jasa dan khidmat beliau kepada Cabang Setiawangsa selama ini.
“Beliau (Nik Nazmi) adalah seorang tokoh reformasi yang berwibawa dan berintegriti dan sumbangannya tidak akan dilupakan oleh warga Cabang ini,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Afdlin juga menyeru seluruh penyokong Nik Nazmi untuk bersama-sama memperkasakan Cabang Setiawangsa.
Katanya, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi tetapi selepas pemilihan, fokus utama adalah membina kekuatan parti dan berbakti kepada masyarakat.
“Cabang ini milik kita semua. Ayuh, kita buka lembaran baharu, bersatu dan bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau turut menyeru anggota Cabang untuk menguatkan barisan dan bekerjasama membantu Nik Nazmi sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dalam melaksanakan agenda reformasi di peringkat nasional.
Afdlin berjanji bahawa Cabang Setiawangsa akan menjadi tulang belakang kepada segala inisiatif yang seiring dengan matlamat PKR.
“Kemenangan ini juga membuktikan bahawa fitnah dan tohmahan yang cuba dilemparkan kepada saya, khususnya isu yang dikaitkan dengan projek DBKL dan ianya tidak menggugat kepercayaan ahli.
“Saya yakin ahli lebih bijak menilai, dan mereka memilih keikhlasan serta rekod khidmat, bukan persepsi murahan,” jelasnya.
Sebagai anak seni yang lahir daripada masyarakat, Afdlin berjanji untuk terus menggunakan pengalaman beliau dalam aktivisme sosial, pendidikan seni dan kerja kemasyarakatan untuk memperkasa Cabang itu.