Zafrul Tolak Desas-Desus PRK, Sedia Berkhidmat Untuk Negara

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini menepis spekulasi bahawa beliau akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK) susulan penyertaannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam satu kenyataan rasmi, Tengku Zafrul menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai penyertaan dalam PRK diadakan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.

Malah, beliau menyatakan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan pencetusan PRK tanpa keperluan mendesak kerana ia melibatkan perbelanjaan dan masa rakyat.

“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh pada Disember 2025, dan menyerahkan sepenuhnya kedudukannya sebagai menteri kepada budi bicara Perdana Menteri.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti.

“Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” tambah beliau.

Mengulas mengenai keputusannya meninggalkan UMNO, Tengku Zafrul menegaskan bahawa ia adalah keputusan peribadi yang dibuat selepas pertimbangan yang mendalam dan tanpa sebarang paksaan.

“Ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan akar umbi UMNO, khususnya Bahagian Kota Raja, atas sokongan yang telah diberikan sepanjang penglibatannya bersama parti itu.

Tengku Zafrul baru-baru ini ke Tanah Suci menyempurnakan ibadah Haji bersama isteri dan menyatakan harapannya untuk terus istiqamah dalam perjuangan dengan semangat baharu.

Anda Mungkin Berminat