Fahmi Ingatkan Ahli PKR Tentang Bahaya Rasuah

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil, mengingatkan setiap anggota parti perlu terus menggilap prinsip idealisme dan tidak membiarkan benih rasuah menyusup masuk serta memusnahkan semangat reformasi.

“Jangan benarkan sikap, terutama bibit-bibit rasuah, merosakkan semangat reformasi.

“Ini peringatan untuk kita semua termasuk diri saya supaya sentiasa berusaha memastikan bukan hanya kestabilan dari segi politik tapi usaha dan ikhtiar yang kita berikan kepada rakyat itu berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PKR Cabang Gombak di Kuala Lumpur pada Ahad.

Fahmi berkata, kepentingan setiap ahli parti untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang responsif dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.

Tegas beliau, tindakan serta tingkah laku pemimpin sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat pada setiap masa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli PKR di semua peringkat supaya tidak leka atau terbuai dengan kedudukan selesa sehingga melupakan akar umbi serta matlamat asal perjuangan parti.

“Meskipun parti ini telah menerajui pentadbiran Selangor sejak 2008, namun setiap pemimpin, baik daripada peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi, wajib mengekalkan kestabilan serta perpaduan yang utuh,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat