PRK Pandan Tidak Perlu, Rafizi Jangan Syok Sendiri – Puad Zarkashi

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pandan tidak wajar diadakan kerana tempoh matang Parlimen telah melepasi tiga tahun sejak Disember 2025, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, seharusnya meneruskan khidmat sehingga tamat penggal tanpa mencetuskan polemik baharu.

“PRK Pandan tidak perlu, Rafizi jangan syok sendiri,” katanya.

Puad mendakwa wujud provokasi kononnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengatur PRK di Pandan dan meramalkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon.

“Rafizi membuat provokasi kononnya PKR mengatur Pilihan Raya Kecil di Pandan. Dia meramalkan Tengku Zafrul akan menjadi calon PKR.

“Edah parlimen tiga tahun sudah pun berlalu iaitu pada Disember 2025,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa jika PRK diadakan, PKR akan dilihat sebagai parti yang kerap mencetuskan Pilihan Raya Kecil bagi menyelesaikan isu dalaman seperti yang pernah berlaku di Permatang Pauh, Port Dickson dan Kajang.

“Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada wajar negara sekali lagi dibebankan dengan kos PRK hanya disebabkan konflik dalaman parti,” katanya.

Puad berkata, tumpuan sewajarnya diberikan kepada isu ekonomi rakyat dan kesejahteraan negara, bukannya spekulasi politik yang membebankan.

Anda Mungkin Berminat