GAZA: Tentera Israel terus mengancam untuk membedil Lubnan sekiranya kumpulan pejuang Hizbullah tidak menghormati gencatan senjata yang telah ditetapkan.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dalam satu kenyataan pada Jumaat.
“Tidak akan ada ketenangan di Beirut dan tiadanya keamanan atau kestabilan di Lubnan melainkan keselamatan Israel terjamin,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa Israel bersedia melancarkan operasi ketenteraan yang lebih besar sekiranya perjanjian tidak dipatuhi.
“Perjanjian mesti dihormati, sekiranya ada tidak melakukan apa yang diperlukan (perjanjian), kami akan terus bertindak dengan kekuatan yang lebih besar,” ujarnya.
Menurut laporan Al Jazeera, tentera Israel telah melancarkan beberapa siri serangan ke kawasan selatan Beirut pada malam Khamis.
Serangan itu menyebabkan ribuan rakyat Palestin terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka hanya beberapa jam sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, ekoran perintah pemindahan secara paksa.
Dalam serangan terbaru, Israel mendakwa telah menyasarkan sebuah kilang dron milik Hizbullah di ibu negara Lubnan.
Mereka menuduh kumpulan pejuang itu giat meningkatkan pengeluaran dron sebagai persiapan menghadapi konflik berikutnya sebagai satu tindakan yang didakwa melanggar syarat-syarat gencatan senjata sejak November lalu.
Namun, Hizbullah menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa tiada kemudahan pengeluaran dron di lokasi yang diserang.
Menurut laporan Agensi Berita Nasional Lubnan, jet pejuang Israel telah melancarkan kira-kira dua belas serangan udara ke atas Lubnan yang menyebabkan kemusnahan besar.
Hasil siasatan Hizbullah menunjukkan sebanyak sembilan bangunan utama telah musnah manakala berpuluh-puluh struktur lain mengalami kerosakan.
Untuk rekod, ini merupakan serangan keempat yang paling dahsyat menyasarkan kawasan selatan Beirut, sebuah kubu kuat Hizbullah, sejak gencatan senjata dicapai pada 27 November lalu.