TOKYO: Jepun berikrar menyediakan bantuan kewangan sebanyak AS$10 bilion (RM kira-kira 47 bilion) bagi membantu negara-negara Asia, khususnya Asia Tenggara, menjamin bekalan tenaga termasuk minyak mentah susulan gangguan rantaian bekalan akibat Perang Iran.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengumumkan kerangka kerjasama baharu itu pada Rabu selepas mesyuarat dalam talian bersama pemimpin serantau.
Menurutnya, Jepun mempunyai hubungan saling bergantung yang rapat dengan negara Asia melalui rantaian bekalan, termasuk kebergantungan terhadap Asia Tenggara bagi produk berasaskan petroleum seperti peralatan perubatan.
“Jepun saling berhubung rapat dengan negara-negara Asia melalui rantaian bekalan dan bergantung antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media.
Kerangka tersebut bertujuan membantu negara Asia mendapatkan bekalan minyak mentah dan produk petroleum, di samping mengekalkan kestabilan rantaian bekalan serta meningkatkan simpanan tenaga.
Asia dilihat sangat terdedah kepada gangguan bekalan tenaga, khususnya jika berlaku sekatan di Selat Hormuz, yang menyaksikan hampir 90 peratus penghantaran minyak dan gas ke rantau ini melaluinya.
Kementerian Luar Jepun memaklumkan jumlah AS$10 bilion itu bersamaan kira-kira nilai import minyak mentah setahun oleh negara-negara dalam ASEAN.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan pemimpin dari beberapa negara termasuk Filipina, Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Bangladesh dan Korea Selatan.
Pembiayaan akan disalurkan melalui pelbagai institusi seperti Japan Bank for International Cooperation, Nippon Export and Investment Insurance, Japan International Cooperation Agency serta Asian Development Bank.
Takaichi menegaskan inisiatif itu tidak akan menjejaskan bekalan minyak domestik Jepun. Sehingga akhir 2025, simpanan minyak negara itu mampu menampung penggunaan selama 254 hari, walaupun kerajaan telah mula menggunakan sebahagian rizab berikutan krisis tenaga global.
Bulan lalu, Jepun melepaskan simpanan minyak bersamaan 50 hari penggunaan – jumlah tertinggi pernah direkodkan – dan merancang melepaskan tambahan 20 hari lagi pada awal Mei.
Dalam perkembangan berkaitan, kebimbangan turut timbul mengenai kekurangan nafta, bahan petrokimia penting dalam pembuatan plastik dan peralatan perubatan seperti picagari, sarung tangan dan mesin dialisis.
Walaupun Takaichi memberi jaminan tiada gangguan segera, kekurangan bahan itu berpotensi memberi tekanan kepada sistem kesihatan Jepun yang sedia terbeban dengan populasi menua.
Di Asia Tenggara pula, kenaikan harga minyak memberi kesan ketara apabila beberapa kerajaan menggesa rakyat berjimat tenaga termasuk berkongsi kenderaan dan mengurangkan penggunaan penghawa dingin.
Malah, Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga, manakala Presidennya, Ferdinand Marcos Jr., menyeru ASEAN mengaktifkan perjanjian perkongsian bahan api serantau bagi menangani krisis tersebut.
Baca juga:








