LISBON: Portugal menjulang trofi UEFA Nations League buat kali kedua selepas menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas aksi dramatik berakhir 2-2 sehingga tamat masa tambahan.
Perlawanan akhir yang berlangsung penuh intensiti itu menyaksikan dua gergasi bola sepak Eropah saling berbalas jaringan.
Namun, nasib menyebelahi skuad Selecao yang tampil lebih tenang ketika penentuan sepakan penalti, sekaligus menafikan impian La Roja untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sejarah kejohanan ini.
Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, menjadi tumpuan apabila terpaksa dikeluarkan pada minit ke-88 akibat kecederaan.
Namun, semangat juangnya tetap menyala apabila beliau kembali ke padang seusai perlawanan untuk mengangkat trofi bersama rakan sepasukan satu simbolik kepada legasi luar biasa beliau dalam dunia bola sepak antarabangsa.
Kegagalan Alvaro Morata menyempurnakan sepakan penalti menjadi titik tolak kekalahan Sepanyol, manakala jaringan penentu Portugal disempurnakan dengan penuh yakin oleh pemain muda Gonçalo Ramos.
Pemain remaja sensasi, Lamine Yamal, yang diangkat sebagai permata baharu Sepanyol, gagal menyerlah dalam pentas sebesar ini.
Persembahannya tenggelam dalam dominasi taktikal dan tekanan lawan.
Bagi Ronaldo, kemenangan ini bukan sekadar satu lagi piala untuk negara, tetapi menjadi bukti bahawa walaupun usia semakin meningkat, beliau masih mampu memberi impak besar buat Portugal.
Ia adalah trofi kedua beliau dalam kejohanan Nations League, memperkukuh lagi kedudukannya sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman.
Dengan kejohanan Eropah kini berakhir, tumpuan kini beralih ke Piala Dunia 2026, di mana Ronaldo dijangka membuat penampilan terakhir dalam kancah antarabangsa satu misi terakhir untuk menutup karier agungnya dengan kejayaan tertinggi.