PUTRAJAYA: Malaysia mengecam keras tindakan tentera Israel yang menahan kru kapal flotila Madleen, sebuah misi kemanusiaan yang bertujuan menghantar bantuan ke Gaza.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu mencetuskan kemarahan dan kebimbangan mendalam terhadap tindakan yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, misi itu adalah usaha untuk membuka laluan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terus terhimpit akibat sekatan ketat rejim Zionis Israel.
“Tindakan memintas dan menahan kru flotila ini jelas menunjukkan usaha terancang dan kejam untuk menghalang bantuan sampai kepada mereka yang paling terjejas termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas,” ujar Wisma Putra.
Malaysia turut menyifatkan sekatan berpanjangan ke atas Gaza sebagai satu kezaliman yang bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Wisma Putra turut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak terus berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Gaza.
“Komuniti antarabangsa perlu bersatu mendesak rejim Zionis Israel menghentikan sekatan kejam ini dan membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan tanpa halangan,” tegas Wisma Putra.
Menurut laporan agensi luar negara, kapal layar Madleen sepanjang 18 meter itu berlepas dari San Giovanni Li Cuti, Catania pada 1 Jun sebagai sebahagian daripada misi Freedom Flotilla Coalition.
Kapal itu membawa bekalan kritikal seperti susu formula bayi, makanan asas, bekalan perubatan, tongkat sokongan dan anggota palsu untuk kanak-kanak.
Seramai 12 individu termasuk 11 aktivis dan seorang wartawan berada di atas kapal tersebut.
Mereka berusaha untuk menembusi sekatan Gaza dan memastikan bantuan penting sampai kepada rakyat Palestin yang terjejas.