GAZA: Tentera Israel telah menghalang sebuah kapal bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza dan menahan 12 aktivis termasuk Greta Thunberg serta beberapa sukarelawan lain dalam insiden yang berlaku awal pagi Isnin.
Kapal yang dikenali sebagai Koalisi Pembebasan Flotilla atau ‘Freedom Flotilla’ membawa bekalan makanan, susu bayi dan peralatan perubatan untuk lebih dua juta penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Menurut Portal Berita Antarabangsa ABC, pihak penganjur mengutuk tindakan Israel sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa, memandangkan kapal tersebut tidak bersenjata dan sedang berusaha menyalurkan bantuan kritikal.
“Kapal ini telah diceroboh secara haram. Anak kapal awam yang tidak bersenjata diculik dan kargo bantuan yang bernilai nyawa telah dirampas,” kata kenyataan penganjur.
Antara aktivis yang berada di kapal itu termasuk Greta Thunberg, aktivis alam sekitar serta Rima Hassan, Ahli Parlimen Eropah dari Perancis berketurunan Palestin yang sebelum ini telah disenarai hitam daripada memasuki Israel.
Difahamkan, Freedom Flotilla memulakan pelayaran dari Kepulauan Sicily, Itali seminggu lalu dan sempat menyelamatkan empat pelarian yang terjun ke laut bagi mengelak penahanan oleh pihak berkuasa Libya.
Dalam satu rakaman yang disiarkan di media sosial, Greta Thunberg menyeru agar tekanan diplomatik dikenakan terhadap Israel oleh kerajaan Sweden bagi membebaskan beliau dan aktivis lain.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel menyifatkan misi bantuan ini sebagai “gimik publisiti” dan menyatakan bahawa kesemua aktivis yang ditahan akan dihantar pulang ke negara masing-masing.
Israel juga mendakwa bahawa bantuan tersebut akan disalurkan secara rasmi oleh pihak berkuasa mereka.
Percubaan terdahulu oleh Freedom Flotilla bulan lalu turut gagal apabila kapal mereka diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Malta, di mana insiden yang turut dipersalahkan ke atas Israel.