RANAU: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) melaungkan keyakinan penuh menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Ketua Wanita PKR Pusat, Datin Rufinah Pengeran telah dilantik sebagai Ketua Wanita PKR Negeri Sabah manakala Noraini Abd Ghapur pula sebagai Timbalannya.

Ketua Wanita PKR Pusat, Fadhlina Sidek berkata pelantikan ini penting bagi memastikan kelancaran gerak kerja Wanita PKR Sabah menghadapi pilihan raya.
“Saya yakin dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Wanita KEADILAN Sabah. Kepimpinan dan pengalaman yang ada pada Rufinah dapat memastikan persediaan terbaik menghadapi pilihan raya.
“Saya menyeru seluruh kekuatan Wanita KEADILAN Sabah untuk teguh bersama dan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan pada PRN Sabah nanti,” katanya dalam mesyuarat Wanita PKR Sabah malam tadi.
Untuk rekod, bermula Januari lalu, Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita PKR Sabah telah ditubuhkan dan berfungsi secara aktif untuk memperkukuh persiapan di semua peringkat. Ini bagi memastikan kesiapsiagaan jentera wanita untuk turun ke gelanggang pilihan raya dengan teratur dan strategik.
Turut berlangsung hingga Ahad ini penganjuran Sekolah Wanita (SWAN) Zon Sabah yang memfokuskan kepada agenda pemerkasaan wanita dan siri bengkel persediaan menghadapi pilihan raya.
Baca juga:








