Anwar Negarawan Paling Giat Usaha Satukan Rakyat Demi Negara – Wanita HARAPAN

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai sosok negarawan yang terus berusaha menyatukan rakyat demi pertiwi tercinta.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Anwar merupakan antara tokoh politik paling banyak diuji dalam sejarah moden negara, di mana pernah dilucutkan jawatan, dipecat, dipenjara serta dihina sebelum kembali memimpin kerajaan.

“Setelah berada di puncak pemerintahan, beliau (Anwar) tidak memilih jalan membalas dendam.

“Sebaliknya, beliau memilih untuk merawat luka negara dan menyatukan semula rakyat.

“Menolak politik kebencian, mengutamakan perpaduan demi Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, ketika landskap politik negara sering dicemari budaya fitnah, adu domba dan sentimen kepartian melampau, Anwar tampil membawa pendekatan berbeza melalui gagasan Malaysia MADANI.

Pendekatan itu, jelasnya, menekankan nilai ihsan, hormat, keyakinan, kemampanan serta kesejahteraan bersama agar rakyat tidak terus terperangkap dalam politik kebencian.

Tegas beliau, kestabilan negara hanya akan tercapai jika rakyat bersatu tanpa mengira perbezaan politik, kaum dan latar belakang.

“Negara tidak akan stabil jika rakyat terus diajar membenci.

“Ekonomi juga tidak akan berkembang jika politik sentiasa bergolak,” katanya.

Beliau berkata, keberanian sebenar seorang pemimpin bukan sekadar menewaskan musuh politik tetapi keberanian memutuskan rantaian kebencian demi masa depan negara.

Aiman Athirah turut menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan perpaduan yang dibawa Anwar mampu memperkukuh Malaysia dalam mendepani cabaran global termasuk tekanan ekonomi, ketidaktentuan geopolitik dan krisis makanan dunia.

Anda Mungkin Berminat