KUALA LUMPUR: Wartawan tempatan yang memiliki kad Perakuan media Jabatan Penerangan layak menikmati diskaun 50 peratus bagi tiket penerbangan pergi dan balik AirAsia ke 57 destinasi di rantau ASEAN.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata insentif itu adalah inisiatif AirAsia yang diketuai Tan Sri Tony Fernandes sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Beliau berkata, tempoh tempahan dibuka sehingga 31 Disember ini, manakala perjalanan boleh dibuat sehingga September tahun depan.
“Maklumat lanjut termasuk cara membuat tempahan akan diumumkan oleh Jabatan Penerangan dalam masa terdekat,” katanya pada majlis sambutan HAWANA 2025 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Fahmi berkata, sehingga 4 Jun lalu, seramai 12,428 wartawan telah berdaftar dengan Jabatan Penerangan, termasuk 12,297 rakyat Malaysia daripada pelbagai platform media seperti cetak, penyiaran dan digital.
Katanya, kerjasama itu mencerminkan semangat HAWANA dan penghargaan kerajaan terhadap peranan media dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, AirAsia juga akan menamakan sebuah pesawat sempena nama wartawan serta menghiasi pesawat itu dengan rekaan khas bertemakan kewartawanan.
“Penumpang yang menaiki pesawat itu akan dapat membaca dan mengenali wartawan Malaysia. Ini adalah usaha murni AirAsia,” katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.
HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan oleh BERNAMA bagi meraikan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara. Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Baca juga: