‘Winds Of Glory’ Bukti Pendidikan Melahirkan Generasi Berdaya Saing

KUALA LUMPUR: Malam penuh gemilang di ibu kota menyaksikan konsert ‘Winds of Glory’ oleh Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) bersama penyanyi terkenal Amir Masdi, yang menjadi bukti nyata bagaimana pendidikan yang tuntas mampu melahirkan generasi muda berdaya saing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di pentas antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan SPWinds meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Emas di Vienna adalah cerminan ekosistem pendidikan negara yang didukung guru, ibu bapa dan masyarakat.

“Kejayaan SPWinds meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Emas di Vienna, adalah cerminan bahawa ekosistem pendidikan kita yang didukung guru-guru, ibu bapa dan masyarakat berupaya menyemarak bakat serta membina sahsiah unggul,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik bersama penggiat seni profesional seperti Amir Masdi bukan sekadar memperkaya pengalaman pembelajaran, malah menjadi wahana penting dalam memperluas ufuk pemikiran dan keyakinan anak-anak Malaysia.

Perdana Menteri turut menyeru agar usaha murni ini terus disokong oleh semua pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat, demi memastikan perjalanan anak-anak ke pentas dunia seperti World Music Contest 2026 dapat dijelmakan.

“Walhasil, inisiatif seperti ini bukan sekadar tentang muzik tetapi tentang membina legasi generasi yang berani, berbudaya dan berdaya saing di persada global,” katanya.

Anda Mungkin Berminat