PUTRAJAYA: Kehadiran penyanyi dan pelakon terkenal, Naim Daniel, di Mahkamah Seksyen Putrajaya pagi ini mencuri tumpuan ramai apabila beliau tampil tenang dan bersahaja meskipun berdepan dakwaan serius melibatkan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim, yang mengenakan sut hitam kemas, hadir ditemani ibunya, Nora Taherahnserta peguam peribadinya.
Dia dilihat tenang dan sempat menyapa pihak media yang menunggu di perkarangan mahkamah.
Kes ini mula menjadi perhatian umum sejak awal Jun apabila laporan media menyebut seorang selebriti lelaki terkenal ditahan polis atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja di sebuah hotel di Selangor.
Remaja tersebut difahamkan mula mengenali selebriti berkenaan ketika bekerja di sebuah kafe.
Walaupun identiti individu tersebut tidak diumumkan secara rasmi pada awalnya, spekulasi dalam talian pantas mengaitkan Naim dengan kes terbabit.
Sejak itu, ruang media sosial miliknya dibanjiri pelbagai reaksi, ada yang mengecam, namun tidak kurang juga yang tampil mempertahankan dan memberi sokongan moral kepada artis berusia 28 tahun itu.
Setakat ini, Naim masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Namun, kehadirannya di mahkamah hari ini dilihat sebagai langkah awal untuk menjernihkan keadaan dan memberi ruang kepada proses keadilan berjalan dengan sewajarnya.