SOLO: Separuh musim yang penuh cabaran dan transformasi akhirnya melabuhkan tirai buat Datuk Ong Kim Swee bersama Persis Solo.
Pengendali berpengalaman itu mengesahkan perpisahannya dengan kelab Laskar Sambernyawa, menandakan tamatnya satu babak singkat tetapi penuh makna dalam kancah Liga 1 Indonesia.
Sepanjang enam bulan di pucuk pimpinan, Kim Swee bukan sekadar membawa kestabilan, malah mengangkat semangat pasukan yang bergelut di zon penyingkiran untuk menamatkan musim di kedudukan ke-14 dengan 36 mata.
“Separuh musim bersama Laskar Sambernyawa kini tiba masa Ong Kim Swee mulakan walau ke mana pun selepas ini, kami ucapkan selamat maju jaya ‘coach’!” kata Persis di Instagram rasmi.
Pengumuman rasmi perpisahan ini menyusul selepas Kim Swee sebelum ini memberi bayangan mahu terus bersama kelab dan merancang membawa masuk pemain dari Malaysia.
Namun, haluan berubah, dan kini spekulasi mengaitkan beliau dengan Persik Kediri semakin hangat.
Kim Swee meninggalkan jejak kepimpinan yang dikenang bukan sahaja kerana hasil atas padang, tetapi kerana pendekatannya yang tenang dan strategik.
Walau apa jua langkah seterusnya, aura serta visi beliau pastinya terus menjadi aset dalam dunia bola sepak Asia Tenggara.