PETALING JAYA: Politik tanah air menerima suntikan baharu apabila penyanyi legenda tanah air, Rahmad Tohak atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega, secara rasmi menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).
Rahmad seorang tokoh seni memilih untuk menyumbang kepada perjuangan membina negara melalui wadah politik.
Menurut perkongsian di media sosial, borang keahlian dan penyertaan beliau ke dalam parti itu telah diterima oleh Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu sambil disaksikan oleh Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil.
Rahmad, yang mula dikenali sebagai vokalis utama kumpulan rock terkenal Mega pada awal 1990-an, mencipta nama menerusi lagu ikonik Takdir dan Waktu.
Sebelum itu, beliau memulakan karier muziknya bersama kumpulan Gerimis dan telah menempuh pelbagai cabaran dalam industri seni termasuk saat-saat sukar selepas meninggalkan Mega pada tahun 1994.
Beliau juga pernah menceburi bidang perniagaan, namun tidak terlepas daripada cabaran ekonomi termasuk kerugian besar ketika mengusahakan medan selera miliknya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kini, dengan penyertaan beliau ke dalam AMANAH, Rahmad membawa bersama pengalaman, semangat dan suara rakyat yang telah lama beliau wakili melalui seni.