BN Mahu Dilihat Kuat, Tapi Belum Yakin – AMK

KUALA LUMPUR: Kenyataan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) dijangka hampir pasti bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai gambaran jelas wujudnya dilema dalaman dalam gabungan itu, menurut Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, langkah BN untuk bergerak sendirian tidak boleh dipisahkan daripada keperluan mereka menjalin persefahaman politik dengan pihak lain bagi mengelakkan pertembungan kerusi.

“Strategi solo tetapi masih perlukan persefahaman ini jelas menunjukkan dilema dalaman BN sendiri yang mahu dilihat kuat tetapi masih bergantung kepada pihak lain untuk mengelakkan pertembungan,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, percanggahan antara hasrat BN menonjolkan kekuatan sendiri dengan realiti politik semasa yang masih memerlukan rundingan bersama rakan politik memperlihatkan ketidaktentuan hala tuju gabungan itu menjelang PRU16.

“Ini mengesahkan BN belum benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, landskap politik semasa menuntut parti tampil dengan pendirian lebih jelas, konsisten dan berasaskan keyakinan terhadap kekuatan sendiri.

Dalam masa sama Danish berkata, AMK akan terus memfokuskan gerak kerja di lapangan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU16.

Anda Mungkin Berminat