KUALA LUMPUR: Prinsip keadilan dalam sistem pendidikan tidak akan bermakna tanpa jaminan akses yang saksama kepada semua lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau merujuk gagasan ‘justice as fairness’ oleh ahli falsafah John Rawls yang menekankan bahawa keadilan hanya dapat dicapai sekiranya peluang yang adil dan asas yang setara disediakan kepada semua.
“Bagaimana mungkin kita menuntut persaingan yang setara antara sekolah terbaik di kota dan bandar besar dengan anak-anak di kawasan pedalaman seperti Kapit, Manik Urai, Hulu Kelantan atau Hulu Pahang tanpa terlebih dahulu menjamin peluang yang adil?” katanya dalam kenyataan bersempena enam dekad ulang tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Ahad.
Menurut Anwar, jurang akses pendidikan antara bandar dan luar bandar perlu ditangani secara menyeluruh agar konsep meritokrasi tidak menjadi sekadar retorik yang mengabaikan realiti ketidaksamaan.
Beliau menekankan peranan MARA sebagai wahana memperluas akses pendidikan dan merapatkan jurang tersebut.
“Tanpa asas yang setara, tuntutan terhadap persaingan adil hanya akan memperkukuh ketidaksamaan sedia ada.
“Sebab itu, institusi seperti MARA perlu terus diperkasa,” katanya lagi.
Anwar turut berkata, usaha memperkukuh akses pendidikan menerusi MARA adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, sekali gus memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara.








