PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan amaran keras kepada semua pihak agar tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau berpotensi mencetuskan ketegangan awam.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan platform dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial atau aplikasi komunikasi bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan salah faham atau permusuhan.
“Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak mudah terpengaruh dengan kandungan yang belum disahkan,” tambah MCMC.
Menurut kenyataan itu lagi, MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan dalam usaha memantau, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang.
Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC turut memberi amaran kepada penyedia platform agar memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Penyedia platform perlu mematuhi undang-undang tempatan serta mengambil langkah proaktif bagi mencegah penyalahgunaan perkhidmatan mereka,” jelas kenyataan itu lagi.








