Anwar Ingatkan Pimpinan PKR Sarawak Junjung Integriti, Tolak Sikap Angkuh

KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan barisan kepimpinan parti di Sarawak agar terus menjunjung nilai integriti dan menjauhi sikap angkuh khususnya dalam kalangan mereka yang memenangi pemilihan lalu.

Beliau menegaskan pentingnya kerjasama menyeluruh dalam parti termasuk dengan mereka yang tidak berjaya, demi memperkukuh kekuatan kolektif dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kita perlu terus rangkul kekuatan akar umbi. Saya tekankan kepada pimpinan yang menang supaya tidak angkuh, sebaliknya bekerjasama dengan semua pihak termasuk yang tidak terpilih,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar turut mengakui bahawa membina kekuatan parti di Bumi Kenyalang bukan satu tugas yang mudah, namun beliau yakin dengan semangat dan iltizam bersama, PKR mampu mengukuhkan tapaknya di Sarawak.

“Usaha membina parti di Bumi Kenyalang bukan mudah, namun dengan iltizam bersama, KEADILAN (PKR) pasti mampu bertapak kukuh,” katanya selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR Sarawak, hari ini.

Dalam peringatan yang tegas, beliau berkata, kuasa dan kedudukan bukanlah tiket untuk bersenang-lenang mahupun menyalahgunakan amanah yang diberi.

“Amanah yang diberi bukan milik mutlak, ia tanggungjawab besar yang mesti dipikul dengan jujur dan ikhlas,” ujar beliau.

Anwar turut menekankan bahawa setiap pemimpin wajib bertanggungjawab, bertindak dengan telus dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya.

Anda Mungkin Berminat