PM Hulur Sumbangan, Ringankan Beban Buruh Kampung

KUANTAN: Tersentuh dengan semangat seorang bapa yang gigih menyara keluarga meskipun berpendapatan kecil, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi telah menyampaikan sumbangan kepada seorang buruh kampung, Muhammad Isma Naqib di Kampung Alur Ladang, Pahang.

Isma menanggung isteri dan dua anak kecil dalam keadaan serba kekurangan.

Pendapatannya yang tidak menentu memaksa beliau mengerah kudrat demi kelangsungan hidup keluarga kecilnya.

Menurut Ahmad Farhan, keadaan rumah yang dihuni mereka amat daif, di mana atap dan dinding bocor, lantai pula dimakan anai-anai.

Namun, yang paling menyentuh hati, katanya, ialah keprihatinan Isma terhadap keselamatan anak-anaknya.

“Bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sedikit sumbangan tanda kasih,” kata beliau selepas menziarahi kediaman keluarga tersebut.

Beliau turut memaklumkan usaha seterusnya sedang dirancang bagi membaik pulih kediaman mereka secepat mungkin.

“Usaha lain kami sedang meniliti bentuk bantuan yang bersesuaian agar kediaman beliau dapat dibaik pulih segera,” jelasnya.

Ahmad Farhan turut menitipkan doa buat keluarga Isma agar segala urusan mereka dipermudahkan.

“Semoga Allah SWT sentiasa mempermudah segala urusan Isma,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat