Oleh: Tyah Helmi
TEHRAN: Iran menyatakan pendirian bahawa mereka tidak sesekali tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu dilontarkan oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika ucapan sulungnya sejak gencatan senjata dengan Israel mula berkuat kuasa.
Khamenei mendakwa kemenangan moral telah berpihak kepada Iran setelah 12 hari konflik bersenjata itu yang memuncak dengan serangan balas Tehran ke atas pangkalan tentera AS yang terletak di Qatar sejurus Washington menyertai serangan ketenteraan Israel.

“Republik Islam telah menang, dan sebagai tindak balas, memberikan tamparan hebat kepada wajah Amerika,” kata Ayatollah Ali Khamenei.
Kenyataan berkenaan hadir dua hari selepas gencatan senjata dimeterai antara Iran dan Israel.
“Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mendedahkan niat sebenar mereka, bahawa Amerika tidak akan berpuas hati selagi Iran tidak menyerah kalah sepenuhnya. Namun perkara seperti itu tidak akan berlaku,” tegasnya.
Sementara itu, terdapat laporan yang berbeza dari AS mengenai tahap kerosakan yang berlaku di beberapa pusat nuklear utama Iran seperti di Fordow, Natanz dan Isfahan selepas serangan udara semasa konflik.
Donald Trump sebelum ini mendakwa bahawa serangan itu telah menghapuskan kemudahan nuklear Iran sepenuhnya.
Namun, Ayatollah Khamenei menolak dakwaan tersebut dan berkata Trump telah membesar-besarkan perkara itu.
Menurutnya, AS tidak memperoleh apa-apa keuntungan daripada peperangan itu, dan serangan yang dilakukan tidak memberi kesan besar kepada program nuklear Iran.
Baca juga: