Ronaldo Sambung Kontrak Dengan Al Nassr Hingga 2027

CRISTIANO Ronaldo menamatkan spekulasi mengenai masa depannya selepas menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr, yang akan menyaksikan beliau kekal sehingga tahun 2027.

Pengumuman rasmi itu dibuat menerusi laman sosial rasmi kelab, di mana Al Nassr menulis di X (sebelum ini Twitter): “Cristiano Ronaldo akan kekal bersama @AlNassrFC sehingga 2027.”

Beberapa minit sebelum pengumuman itu, kelab tersebut memuat naik video acah menampilkan Ronaldo yang kini berusia 40 tahun berjalan di pesisir pantai sambil berkata: “Al Nassr selamanya.”

Ronaldo menyertai Al Nassr pada tahun 2023, dan ketibaannya menjadi pencetus kepada kemasukan ramai pemain ternama ke Liga Pro Saudi, khususnya mereka yang berada di penghujung karier.

Namun begitu, penghujung musim lalu menyaksikan Al Nassr menamatkan kempen liga di tempat ketiga tanpa sebarang trofi, mendorong Ronaldo memuat naik hantaran di media sosial dengan kapsyen “Bab ini sudah berakhir” – yang mencetuskan khabar angin perpindahan.

Menurut sumber daripada Dana Pelaburan Awam (PIF) – pelabur utama dalam bola sepak Saudi – kehadiran Ronaldo selama lebih dua tahun telah memainkan peranan penting dalam membangunkan liga tersebut. “Kehadirannya membuka pintu kepada ramai pemain muda dan elit untuk datang ke Arab Saudi,” kata sumber tersebut kepada AFP.

PIF, yang dibiayai oleh hasil minyak, turut mengawal beberapa kelab utama seperti Al Nassr, Al Hilal dan Al Ahli.

Pengumuman lanjutan kontrak Ronaldo itu hadir beberapa bulan selepas pemain bintang Brazil, Neymar, menamatkan tempoh 18 bulan yang dipenuhi kecederaan bersama Al Hilal, di mana beliau hanya sempat beraksi tujuh kali dengan gaji dilaporkan sekitar AS$104 juta setahun.

Ketika berpindah ke Al Nassr dua tahun lalu, Ronaldo dilihat memilih ‘bayaran besar penghujung karier’ berbanding persaingan elit bola sepak Eropah – dengan nilai kontrak dilaporkan mencecah AS$250 juta (lebih RM1 bilion).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat