PETALING JAYA: Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu secara rasmi dinamakan semula sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang.
Pengisytiharan bersejarah itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang juga merupakan Tuanku Canselor UPM.
Majlis turut disaksikan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Naib Canselor UPM, Datuk Prof Ir. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Dalam titah baginda, Sultan Sharafuddin menyatakan keyakinan bahawa penjenamaan semula ini akan memperkukuh peranan UPM di rantau Borneo.
“Beta yakin Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bakal menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi di Sarawak dan rantau Borneo, selain terus memperkukuh kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan serta keterjaminan makanan,” titah baginda.
Baginda turut menyeru agar komitmen UPM diteruskan dalam melahirkan bakat dan kepakaran khususnya menerusi pelaksanaan Blueprint Keterjaminan Makanan sebagai usaha menyokong kemajuan negara.
Penjenamaan itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangan kampus tersebut dalam bidang pertanian dan pembangunan lestari, malah dijangka mengangkat Sarawak sebagai hab penyelidikan pertanian berimpak tinggi di Malaysia Timur.