Kongres Lulus RUU Besar Trump, Pemotongan Cukai Dan Perbelanjaan

AMERIKA SYARIKAT: Dalam kemenangan besar bagi agenda domestik Donald Trump, Kongres Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang digelar Presiden sebagai ‘big, beautiful bill’ selepas sesi perdebatan yang hangat di Capitol Hill.

Memetik laporan BBC News, Rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Perwakilan pada petang Khamis dengan undian 218 berbanding 214, selepas ia melepasi Senat pada hari Selasa hanya dengan satu undian.

Trump menetapkan tarikh akhir 4 Julai kepada Kongres yang dikuasai Republikan untuk menyerahkan versi akhir bagi ditandatangani sempena sambutan Hari Kemerdekaan AS.

Pejabat Bajet Kongres menjangkakan rang undang-undang ini boleh menambah defisit persekutuan sebanyak $3.3 trilion dalam tempoh 10 tahun dan menyebabkan berjuta-juta kehilangan perlindungan kesihatan dan ia satu ramalan yang dinafikan oleh White House.

“Rang undang-undang ini akan menjadikan negara ini seperti roket.

“Ini akan menjadi rang undang-undang yang hebat untuk negara ini,” kata Trump.

Beliau dijangka menandatangani rang undang-undang tersebut dalam satu majlis rasmi pada 4 Julai pukul 5 petang waktu EDT (10 malam waktu BST).

Speaker Dewan Republikan, Mike Johnson, menyifatkan kepercayaan sebagai elemen utama untuk mendapatkan sokongan parti.

“Saya percaya kepada orang-orang yang berdiri di belakang saya… Ada antara mereka lebih menyeronokkan untuk berurusan.

“Saya maksudkan itu dengan tahap hormat yang paling tinggi,” katanya.

Antara yang berjaya diyakinkan ialah wakil Texas, Chip Roy, yang sebelum ini menyifatkan versi Senat sebagai ‘travesty’.

Namun, beliau menukar pendirian semasa proses undian bermula.

“Saya rasa kita telah mencapai keputusan yang baik dalam perkara-perkara utama,” katanya.

Hanya dua wakil Republikan, iaitu Thomas Massie dan Brian Fitzpatrick yang mengundi menolak rang undang-undang tersebut.

Sebaik rang undang-undang diluluskan, puluhan wakil Republikan berkumpul sambil melaungkan “USA! USA!”

Namun, proses undian tergendala hampir sembilan jam apabila Ketua Minoriti Demokrat, Hakeem Jeffries, menyampaikan ucapan paling panjang dalam sejarah Dewan.

“Saya akan ambil masa saya sebaik mungkin demi rakyat Amerika,” ujarnya.

Beliau mengkritik keras kesan rang undang-undang terhadap rakyat miskin termasuk pemotongan bantuan makanan dan kesihatan serta pengurangan insentif tenaga bersih.

Rang undang-undang ini memenuhi dua janji utama kempen Trump iaitu melestarikan pemotongan cukai 2017 dan menghapuskan cukai ke atas tip, kerja lebih masa dan penerima Social Security dengan kos keseluruhan sebanyak $4.5 trilion dalam sedekad.

Ia juga memperuntukkan $150 bilion untuk kawalan sempadan dan penguatkuasaan imigresen serta $150 bilion lagi untuk ketenteraan termasuk program pertahanan peluru berpandu ‘gold dome’ yang dicadangkan Presiden.

Demokrat terus membidas rang undang-undang itu sebagai ‘mengambil dari yang miskin dan memberi kepada yang kaya’, menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan sosial dan keutamaan ekonomi kerajaan.

Anda Mungkin Berminat