Nurul Izzah Dilantik Pengerusi Eksekutif SIDEC

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Politik Perbadanan Teknologi Informasi dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena Majlis Sambutan 10 Tahun SIDEC yang berlangsung, malam tadi.

Menurut Amirudin, pelantikan Nurul Izzah bertujuan mengukuhkan komunikasi antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan pemain industri melalui peranan penasihat strategik.

“Beliau (Nurul Izzah) terlibat aktif dalam bidang pembangunan generasi muda, teknologi dan kemahiran.

“Ini satu langkah ke hadapan untuk melibatkan beliau dalam perancangan dan pembangunan industri semikonduktor.

“Malah, beliau juga sebenarnya memainkan peranan di belakang tabir dalam beberapa inisiatif berkaitan semikonduktor di Malaysia sejak setahun lalu,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Amirudin turut berkata, pengalaman dan rangkaian luas Nurul Izzah dijangka mampu memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan pihak berkepentingan.

Untuk rekod, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti Mei lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Anda Mungkin Berminat