Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Jaguh perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan tanah air selepas memuat naik satu hantaran di media sosial yang menggambarkan seolah-olah dirinya sedang menghadapi tekanan atau gangguan emosi.
Dalam perkongsian di akaun Instagram miliknya malam tadi, Zii Jia memaparkan beberapa keping lukisan berwajah suram yang mengundang pelbagai andaian daripada peminat dan rakan sepasukan mengenai keadaannya ketika ini.
Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati ramai rakan atlet dan penyokong setia tampil memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral, agar Zii Jia terus kuat menempuh apa jua cabaran yang dihadapinya.
Antara yang turut memberikan reaksi ialah sahabat baiknya, pemain badminton wanita negara, Goh Jin Wei.
“Biarkan waktu mengubati semuanya,” katanya.
Peminat juga meluahkan keyakinan terhadap kebangkitan semula pemain berusia 26 tahun itu.
“Saya faham kesukaran yang kamu hadapi sekarang, namun saya percaya pada awak.
“Langkah demi langkah, awak pasti akan bersinar kembali,” kata Khai Yuen Chao.
“Saya doakan agar segala urusan kamu dipermudahkan. Mungkin ada bebanan yang sukar diluahkan, atau persoalan yang menghantui fikiran.
“Kami sebagai peminat akan sentiasa berdiri di belakang kamu,” kata salah seorang peminatnya yang lain.
Sebelum ini, juara Kejohanan Seluruh England 2021 itu dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian buku lali semasa menentang pemain Jepun, Koki Watanabe, dalam kejohanan Terbuka Arctic, Disember lalu.
Kecederaan tersebut memaksanya untuk berehat panjang dan menarik diri daripada semua kejohanan utama tahun ini demi memberi fokus kepada proses pemulihan.
Situasi itu turut menjejaskan kedudukan Zii Jia dalam ranking dunia, apabila beliau kini tercicir dari kelompok 20 terbaik dan berada di tangga ke-27.
Namun, harapan kembali menyala apabila beliau dijangka membuat kemunculan semula dalam Kejohanan Terbuka Jepun yang dijadual berlangsung pada 15 Julai ini.








