PUTRAJAYA: Satu sindiket eksploitasi warga emas yang dipercayai menjalankan aktiviti perkahwinan palsu melibatkan warga asing ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, lima lelaki tempatan termasuk seorang ‘dalang utama’ telah ditahan dalam Operasi Khas di sekitar Putrajaya hasil risikan selama dua minggu dan maklumat awam.
Beliau berkata, sindiket berkenaan menyasarkan warga emas di Lembah Klang yang ingin berkahwin dengan warga asing yang dipercayai bagi tujuan permohonan taraf perkahwinan dengan warganegara.
“Mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 66 tahun.
“Turut disita adalah 63 naskhah pasport pelbagai negara termasuk Malaysia, China, Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Macau,” katanya.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan pada pukul 9.19 pagi itu ialah sebuah komputer riba dan dua mesin pencetak, 26 folder berisi dokumen JIM dan JPN, dua beg galas serta wang tunai RM3,070 dan dua kenderaan dipercayai milik sindiket.
Zakaria berkata, sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM500 bagi setiap permohonan perkahwinan antara warga asing dan tempatan yang ditawarkan sebagai ‘isteri kepada warganegara tempatan’.
“Mereka mensasarkan warga emas tempatan di Lembah Klang yang ingin berkahwin dengan warga asing.
“Sindiket dipercayai beroperasi sejak setahun lalu,” jelas beliau lagi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan semua suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.








