LABUAN: Tindakan pantas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menumpaskan cubaan penyelewengan barang kawalan apabila seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan bersama rampasan 750 liter cecair disyaki petrol di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Sungai Keling pada Rabu.
Serbuan sekitar pukul 2 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyimpanan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran.
Pemeriksaan menemukan 20 gelen dan dua drum berisi petrol yang disimpan tanpa permit sah.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,940.00.
“Kesemua barang kes telah disita untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122],” menurut kenyataan rasmi KPDN Labuan.
Lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan dengan kes disiasat di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi kesalahan pertama.
KPDN menegaskan komitmen memperkukuh penguatkuasaan melalui Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalah guna.
“KPDN Labuan memandang serius sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan bekalan bersubsidi serta barang kawalan berjadual tidak disalah guna atau diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.
Orang ramai turut diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi.







