JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah pangsapuri sekitar Johor Bahru pada 13 Mei lalu.
Di lokasi kejadian, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
Menurut Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.
Susulan maklumat yang diperoleh, pada 20 Mei, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan telah melancarkan beberapa siri serbuan di sekitar Seri Alam dan Mersing.
Operasi itu membawa kepada penangkapan tujuh lelaki warga asing berusia antara 17 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas kenderaan milik mangsa yang dipercayai telah dilarikan oleh suspek semasa kejadian.
Semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.
Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 20 Mei hingga 2 Jun, sebelum empat daripada mereka disiasat lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 sehingga 15 Jun.
Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor pada 3 Jun dan arahan pendakwaan diberikan.
Seorang suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Empat lagi suspek akan dituduh di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana pas tamat tempoh yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tiga suspek lain dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 4 Jun 2026.
DCP Hoo turut menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mencetuskan pelbagai kesalahan jenayah.
“Pihak polis mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran atau melalui talian hotline Polis Johor di nombor 019-2792095 dan talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di nombor 07-2212999,” katanya.








