Malaysia pilih pendekatan damai isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia memilih pendekatan damai dan diplomasi berbanding konfrontasi dalam menangani isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Dalam wawancara bersama saluran antarabangsa France 24, Anwar menjelaskan, sebagai negara maritim Malaysia sememangnya berdepan isu sempadan dengan hampir semua jiran serantau namun semua diselesaikan secara baik.

“Kita tidak berperang pun. Hubungan kita kekal baik walaupun ada perbezaan kecil,” katanya.

Menjawab soalan mengapa Malaysia dilihat tidak begitu tegas seperti Filipina dalam isu berkenaan, Anwar menolak anggapan bahawa Malaysia sanggup membuat konsesi terhadap China.

Sebaliknya, menyatakan bahawa tindakan memilih pendekatan senyap bukan bermakna tunduk, tetapi sebahagian daripada dasar tidak memihak.

“Mengapa perlu ambil tindakan keras terhadap China sahaja? Kita ada isu dengan banyak negara, tapi semua kita tangani secara damai,” tegas beliau.

Anwar turut memaklumkan bahawa dalam kalangan negara ASEAN, semua pihak bersetuju dengan usaha merangka Kod Tata Laku (Code of Conduct) di Laut China Selatan bagi memastikan keselamatan dan kestabilan serantau.

“China pun telah beri maklum balas positif semasa di Jakarta tahun lepas, mereka menyokong dan kita teruskan dari situ,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat