SAM, CAP Sokong Larangan Import E-Sisa, Desak Penguatkuasaan Tegas

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik keputusan kerajaan mengenakan larangan serta-merta terhadap pengimportan sisa elektronik (e-sisa), berkuat kuasa 4 Februari 2026.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pertubuhan itu menegaskan langkah tersebut amat penting bagi melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, selain menghantar mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan dijadikan tapak pelupusan sisa dunia.

“Langkah ini amat perlu untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan rakyat, selain mengingatkan bahawa Malaysia tidak akan menjadi destinasi pelupusan e-sisa antarabangsa,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

SAM dan CAP turut menyokong pandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bahawa penguatkuasaan bersepadu oleh semua agensi berkaitan adalah kunci keberkesanan larangan tersebut.

“Penguatkuasaan yang tegas dan diselaraskan amat penting kerana penyeludup sisa tidak teragak-agak melanggar undang-undang, merasuah pegawai dan mengambil kesempatan ke atas kelompongan peraturan,” menurut kenyataan sama.

Kedua-dua pertubuhan itu turut mengingatkan bahawa e-sisa mengandungi bahan toksik dan logam berat yang boleh mencemarkan udara, tanah serta sumber air, sekali gus meningkatkan risiko penyakit pernafasan dan kesan kesihatan jangka panjang kepada komuniti berhampiran.

“Penyeludupan dan kitar semula e-sisa secara haram memberi ancaman serius kepada kesihatan awam dan menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, SAM dan CAP menggesa kerajaan memperketat pemeriksaan di pintu masuk negara, meningkatkan kawalan sempadan serta mengenakan hukuman setimpal terhadap pihak yang terlibat dalam penyeludupan dan pembuangan sisa secara haram.

Anda Mungkin Berminat