Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: ASEAN digesa untuk kekal fokus terhadap usaha berterusan dalam menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau kalis masa depan, khususnya dalam konflik geopolitik yang semakin mencengkam.
Menerusi ucapan pembukaan di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, Menteri Luar, Datuk Seri Muhammad Hasan berkata ASEAN kini berdepan cabaran baharu, bukan sahaja kestabilan politik dan keselamatan, namun terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kita berdepan dengan ancaman seperti perubahan iklim, teknologi yang mengganggu kestabilan serta perpecahan masyarakat akibat polarisasi politik dan ekonomi.
“Pada masa sama, persaingan kuasa besar terus membayangi rantau kita dan menjejaskan perdagangan terbuka, rantaian bekalan serta keselamatan makanan kita,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu memberi kesan besar kepada negara-negara di Selatan Global, maka ASEAN perlu melangkah ke hadapan dengan strategi bersepadu serta autonomi strategik.
“Kita mesti memfokuskan usaha ke arah mewujudkan Asia Tenggara yang kalis masa depan.
“Semangat tindakan kolektif mesti diteruskan, dan kita perlu memimpin rakyat ke arah masa depan yang lebih selamat dan saksama,” ujarnya.
Mohamad turut menekankan bahawa kepengerusian Malaysia bagi ASEAN tahun ini bakal berpandukan aspirasi ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ dengan komitmen demi memperkukuh lagi keamanan, kestabilan, dan kemakmuran serantau.
Beliau juga menyentuh mengenai dokumen penting yang telah dimeterai oleh para pemimpin ASEAN pada baru-baru ini berkait Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045 serta Wawasan Komuniti ASEAN 2045
Katanya, Deklarasi Kuala Lumpur akan menjadi panduan ke arah ASEAN yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat dalam tempoh dua dekad akan datang.
“Haluan kita akan terus dipandu oleh prinsip Kesentralan ASEAN. Ini membolehkan kita membentuk seni bina serantau mengikut acuan kita sendiri dan memastikan hubungan dengan rakan-rakan dialog kekal konstruktif,” jelas beliau.
Mohamad turut memaklumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Keempat Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin pada Jumaat ini, sebagai tanda solidariti ASEAN terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Sebagai penutup, beliau mengingatkan bahawa ASEAN telah diasaskan atas semangat keberanian dan visi besar, dan kini tiba masanya untuk memikul amanah itu dengan penuh tekad.
“ASEAN tidak pernah gentar dengan cita-cita besar. Kita membawa harapan dan masa depan hampir 700 juta rakyat. Pentas telah disediakan, dan detik ini adalah milik kita,” katanya.
Baca juga:








