PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa tiada sebarang bukti setakat ini yang menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencampuri urusan institusi kehakiman negara atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
Kamil Munim menyifatkan dakwaan berhubung campur tangan Perdana Menteri dalam sistem kehakiman sebagai satu naratif jahat yang tidak berasas dan bermotifkan politik.
“Dakwaan bahawa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri mempunyai isu undang-undang peribadi serta tuduhan kononnya Perdana Menteri sedang ‘mengoyakkan’ institusi negara demi mengekalkan kuasa adalah tidak berasas dan perlu disandarkan dengan bukti yang kukuh, bukan tuduhan rambang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kamil, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, menegaskan bahawa proses undang-undang yang sedang dihadapi oleh Perdana Menteri membuktikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dihormati.
“Sistem kehakiman yang bebas membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa sebarang campur tangan eksekutif, tidak kira siapa yang terlibat,” katanya.
Mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kamil menyifatkannya sebagai cubaan mengelirukan rakyat dengan memanipulasi kenyataan segelintir Ahli Parlimen kerajaan demi kepentingan politik.
“Pandangan atau pendapat individu Ahli Parlimen kerajaan tidak boleh ditafsir sebagai petanda kehilangan kepercayaan terhadap Perdana Menteri,” ujarnya.
Tambah beliau, keterbukaan Ahli Parlimen kerajaan dalam menyuarakan pandangan sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan mencerminkan kematangan demokrasi dan budaya politik yang lebih sihat.
“Kebebasan menyuarakan pandangan ini jauh berbeza dengan pendekatan kerajaan terdahulu yang pernah menutup Parlimen, dipercayai kerana takut berdepan pembangkang,” katanya lagi.