Pasar Terapung Tumpat Tawar Pengalaman Unik Beli-Belah Atas Air

Oleh: Aliyaa Azmi

JIKA anda mengimpikan suasana membeli-belah di pasar terapung seperti di Thailand, tetapi belum berkesempatan ke sana, anda mungkin tidak tahu bahawa Kelantan juga punya pasar terapung tersendiri yang tidak kurang menariknya.

Bertempat di Pulau Suri, Tumpat, pasar terapung ini menawarkan pengalaman beli-belah dari atas air yang unik dan menjadi tarikan pelancongan tempatan setiap hujung minggu.

Beroperasi setiap hari Sabtu dari jam 9 pagi hingga 3 petang, pasar ini menggabungkan elemen tradisional dan keunikan budaya masyarakat tempatan yang menjadikan bot sebagai “kedai” mereka.

Peniaga menjual pelbagai barangan, terutama hasil laut seperti udang, sotong, ikan, lokan dan kepah terus dari perahu mereka yang berlabuh di tebing sungai.

Menariknya, urus niaga berlaku dalam suasana Santai, pembeli berada di daratan, sementara peniaga pula kekal di dalam bot.

Kaedah ini memberikan dimensi berbeza berbanding pasar malam biasa, malah lebih bersifat ‘Instagrammable’ dengan latar belakang semula jadi kampung air yang mendamaikan.

Namun untuk ke Pulau Suri, pengunjung perlu menaiki bot dari jeti tertentu. Perjalanan itu sendiri sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman yang ditawarkan, menyusuri sungai tenang, menikmati angin sepoi-sepoi dan melihat kehidupan nelayan tempatan dari dekat.

Bagi penduduk sekitar Tumpat, kewujudan pasar ini memberi nilai ekonomi tambahan, selain menjadikan Pulau Suri lebih dikenali pelancong dari luar Kelantan.

Walaupun tidak sebesar atau semeriah pasar terapung di Bangkok, keunikan dan keasliannya menjadikannya pengalaman yang tidak patut dilepaskan.

Selain Pulau Suri, satu lagi pasar terapung yang boleh dikunjungi ialah Pasar Terapung Pengkalan Datu yang terletak di Pengkalan Chepa. Ia turut beroperasi pada hari Sabtu dengan konsep sama menggunakan bot sebagai tapak niaga utama.

Bagi pelancong yang mencari sesuatu yang lebih ‘rare’ dan berbeza semasa bercuti di Kelantan, pasar terapung ini wajar dimasukkan dalam itinerari anda.

Ia bukan sekadar lokasi beli ikan segar, tetapi pengalaman budaya, pemandangan asli dan bukti bahawa keunikan pelancongan tidak semestinya perlu dicari di luar negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat