“Trump tak boleh suka hati” – Pemuda Amanah bantah pencalonan Nick Adam

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak boleh ‘syok sendiri’ menghantar wakil diplomat yang disukainya tanpa latar belakang profesional dan persetujuan rasmi pelbagai pihak.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Asmaaalif Abd Adam berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang bermaruah mempunyai hak penuh untuk menolak mana-mana calon duta asing, seperti yang termaktub dalam Perkara 4 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik.

“Malaysia adalah negara yang bermaruah. Kedatangan Nick Adam, pelantikan ataupun pencalonan Nick Adam belum lagi final, itu yang pertama.

“Yang mana di dalam Artikel 4, ada disebutkan bahawa kita sebagai negara yang akan menerima mana-mana diplomat, berhak untuk menolak mana-mana calon yang ingin dicalonkan di negara kita.

“Trump tak boleh suka hati hantar orang yang dia suka, orang yang dia mahu ke negara kita tanpa kita persetujui.” katanya menerusi sidang media di Himpunan Bantah Nick Adam pada Jumaat.

Tambahnya lagi, keputusan untuk menghantar Nick Adam juga dianggap tidak wajar memandangkan tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan cukai sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia.

“Trump jangan main-main dengan Malaysia, nama Malaysia tengah naik sekarang, jangan kamu cabar kami.

“Hantarlah orang lain. Kami dah banyak nama Nik, kami ada Nik Aziz, Nik Abduh, Nik apa lagi? Nak Nik Nazmi? Kami ada ramai dah Nik, jadi kami tak perlukan Nick Adam. Cukup sudah, terlalu ramai di dalam Malaysia nama Nick ini.

“Hantar orang lain untuk jadi duta kamu,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa langkah penyerahan memorandum ini adalah manifestasi ketegasan parti-parti kerajaan dalam menyuarakan sokongan terhadap Palestin, khususnya Gaza.

“Dan akhir sekali saya nak sentuh, saya nak sebutkan, ini bukan kali terakhir dan kami yakin, kerajaan melihat apa yang kami laksanakan hari ini kerana kami datangnya daripada parti-parti kerajaan yang memerintah.

“Kalau perlu, kami akan hantar memorandum kepada ketua negara kami iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita, untuk menolak Nick Adam dengan jelas, dengan tegas, menyatakan pendirian kita terhadap rakyat Palestin, terutamanya di Gaza.

“Maka kami, selaku rakyat Malaysia yang sangat menjulang dan menjunjung, dan sangat menyokong perjuangan di Palestin, takkan menerima orang yang bernama Nick Adam untuk datang ke Malaysia. “Itu ketegasan kami. jadi, jangan bawa Nick Adam ke sini (Malaysia),” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan memorandum tersebut diserahkan di hadapan bangunan Kedutaan AS, Kuala Lumpur pada Jumaat oleh barisan Pemuda Amanah bersama beberapa pemimpin parti kerajaan yang turut menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat