Hadi, PAS tidak patut campur urusan disiplin dalaman parti lain – Bersatu

PETALING JAYA: Bersatu tampil memberikan penjelasan terbuka terhadap beberapa tuduhan yang dibangkitkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, termasuk isu pertukaran Menteri Besar Perlis, krisis politik Negeri Sembilan dan dakwaan kelemahan jentera parti.

Dalam kenyataan, Biro Politik Bersatu menegaskan semua isu berkenaan sepatutnya dibincangkan secara dalaman menerusi meja rundingan demi menjaga keharmonian dalam Perikatan Nasional (PN).

Namun, katanya, tindakan Abdul Hadi membuat kenyataan secara terbuka menyebabkan parti itu perlu tampil menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif terhadap Bersatu.

“Bersatu berpandangan isu itu sepatutnya dibawa ke meja rundingan dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.

“Namun oleh kerana Presiden PAS membuat kenyataan terbuka mengenainya, Biro Politik Bersatu berpendirian perkara tersebut perlu diperjelaskan kepada umum agar tidak timbul salah faham dan persepsi negatif terhadap Bersatu dalam kalangan ahli dan masyarakat,” katanya pada Ahad.

Mengulas isu pertukaran Menteri Besar Perlis, Bersatu menegaskan pelantikan jawatan itu adalah hak mutlak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan tidak wajar dipertikaikan.

Menurut kenyataan itu, baginda sebelum ini menitahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi menghadap pada 25 Oktober 2025 bagi membincangkan kemelut politik di Perlis.

Bagaimanapun, pertemuan tersebut didakwa terpaksa dibatalkan kerana Abdul Hadi tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

“Tuanku kemudian menitahkan kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan baginda.

“Tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan Bersatu dalam menjunjung titah Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab,” katanya.

Dalam isu krisis politik Negeri Sembilan pula, Bersatu mendakwa Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Azmin Ali beberapa kali cuba menghubungi Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi membincangkan pendirian bersama selepas UMNO memutuskan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri.

Menurut Bersatu, tindakan PN untuk terus bekerjasama dengan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO ketika parti itu menyokong PH akan memberi gambaran salah bahawa PN bersetuju dengan kerjasama tersebut.

“Mengambil kira UMNO kekal mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan, maka tindakan ADUN PN kekal bekerjasama dengan ADUN UMNO tidak lagi sesuai.

“Bagi mengelakkan gambaran salah ini, Setiausaha Agung Bersatu mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 ADUN UMNO. Namun tiada jawapan diterima daripada Setiausaha Agung PAS,” katanya.

Selain itu, Bersatu turut menolak dakwaan bahawa parti itu hanya mempunyai ramai calon tetapi lemah dari segi jentera pilihan raya.

Katanya, parti itu kini menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari, khususnya dalam kalangan anak muda, sekali gus membuktikan kekuatan akar umbi Bersatu semakin berkembang.

Bersatu juga mempertahankan tindakan disiplin terhadap beberapa ahlinya dengan menjelaskan ia dibuat mengikut perlembagaan parti dan telah disahkan sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Dalam masa sama, parti itu menegaskan PAS tidak seharusnya mencampuri urusan disiplin dalaman Bersatu.

Menyentuh isu kemasukan parti lain ke dalam PN, Bersatu menjelaskan pendiriannya ialah kerjasama pilihan raya boleh diadakan terlebih dahulu sebelum keanggotaan rasmi dipertimbangkan.

Menurutnya, perkara itu merupakan keputusan kolektif yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu.

Bersatu turut melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan yang dilemparkan Abdul Hadi dan mengingatkan bahawa semua keputusan penting dalam PN seharusnya dibincang serta diputuskan secara musyawarah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat