Anwar Bukti Kepimpinan Demi Kestabilan, Ekonomi Dan Rakyat – Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan kepimpinan yang tenang, stabil dan jelas hala tuju dalam mendepani cabaran dunia hari ini, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan keupayaan mentadbir negara dengan baik demi kestabilan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita perlu terus teguh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan kuat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Ahad.

Mohamad Sabu berkata, perjuangan politik gabungan itu masih belum selesai dan negara memerlukan kepimpinan Anwar untuk terus mentadbir sehingga akhir penggal, selain diberi mandat baharu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau turut menyatakan bahawa kehadiran hampir 10,000 peserta pada konvensyen itu menjadi bukti sokongan rakyat terhadap agenda perjuangan Pakatan Harapan (PH).

“Alhamdulillah, kehadiran rakyat dari pelbagai latar belakang membuktikan harapan terhadap masa depan negara masih hidup dalam jiwa rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Mohamad Sabu, rakyat kini mampu menilai sendiri pentadbiran kerajaan yang tidak mendiskriminasi mana-mana kaum, negeri atau fahaman politik dalam penyaluran bantuan dan pembangunan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan memilih pendekatan telus dalam berdepan cabaran ekonomi global dengan tidak menyembunyikan masalah atau membuat janji berlebihan kepada rakyat.

“Bagi AMANAH, politik bukan sekadar soal kuasa tetapi amanah untuk membela rakyat dan membina negara yang lebih baik,” katanya.

Konvensyen tersebut berlangsung dengan kehadiran pemimpin dan perwakilan PH dari seluruh negara, menandakan kesatuan politik yang masih utuh di bawah kepimpinan Anwar.

Anda Mungkin Berminat