SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus berpaksikan rakyat dan bukan bersifat elitis.
Dalam satu sesi bersama pimpinan dan anggota PKR Negeri Sembilan selepas menghadiri program di Port Dickson, Anwar menekankan kepentingan memperkukuh keanggotaan parti serta gerak kerja di semua peringkat bagi menghadapi tekanan kos sara hidup rakyat.
“Segala usaha di peringkat negeri mahupun persekutuan mesti digembleng untuk membela rakyat dan mencari penyelesaian yang mampan serta berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Menurut Anwar, akar umbi parti adalah nadi perjuangan dan mereka perlu diberikan kefahaman yang jelas mengenai dasar parti serta hala tuju negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepimpinan di semua peringkat agar bersatu dan tidak menganggap sesama anggota sebagai musuh.
“Perbezaan harus dilerai dengan hikmah dan kita mesti mara ke hadapan dengan matlamat yang satu yakni memperjuangkan agenda rakyat,” ujarnya.
Anwar juga menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, namun mengingatkan kejayaan hanya akan berkekalan dengan kerjasama utuh seluruh pasukan.
“Tiada ruang untuk merasa selesa. Kini masanya untuk memperhebat gerak kerja dan menyemarakkan semangat perjuangan demi masa depan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Baca juga: