PUTRAJAYA: Semua majikan tanpa pengecualian diwajibkan membayar gaji minimum RM1,700 mulai 1 Ogos ini, termasuk majikan yang sebelum ini diberikan tempoh penangguhan.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, perintah itu meliputi semua sektor dan pekerja, termasuk bukan warganegara dan kontrak perantisan, kecuali pekhidmat domestik.
“Majikan mesti menyemak semula struktur gaji bagi memastikan tiada pekerja menerima bawah kadar minimum”
“Mana-mana majikan yang ingkar boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, manakala kesalahan berulang boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun” menurut kenyataan Kesuma hari ini.
Kesuma menegaskan perintah ini adalah selaras dengan usaha kerajaan melindungi hak pekerja dan memastikan gaji yang adil dalam pasaran kerja.
Langkah itu susulan pengumuman kadar baharu dalam Belanjawan 2025 yang mula dikuatkuasakan 1 Februari lalu, namun hanya terpakai kepada majikan yang menggaji lima orang pekerja ke atas.
Mulai Ogos ini, semua kategori majikan termasuk yang menggaji kurang daripada lima pekerja turut tertakluk kepada pelaksanaan penuh perintah gaji minimum berkenaan.
“Tiada lagi pengecualian atau kelonggaran. Semua majikan mesti mematuhi tanpa kompromi,”
“Pendekatan ini bukan hanya menjamin hak pekerja, malah membantu daya tahan syarikat dalam persaingan ekonomi jangka panjang,” menurut kementerian itu lagi.
Kesuma turut menggalakkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang menawarkan insentif tunai kepada majikan yang bersedia menaikkan gaji pekerja berdasarkan sumbangan kerja dan kecekapan.
“Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan pelaksanaan gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) seluruh negara atau melalui laman web rasmi Kementerian” Menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga: