PM sampai sumbangan, penghargaan atas kecekalan seorang ayah di Cherating

CHERATING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan bantuan kepada Ramle Mamat, seorang warga emas yang cekal menjaga anak istimewanya yang menghidap pelbagai masalah kesihatan.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam satu lawatan ziarah penuh keprihatinan ke kediaman keluarga itu.

Menurutnya, bekas pekerja resort yang kini menjalani hari-harinya sebagai pesara itu merupakan tonggak keluarga yang tabah menguruskan anaknya, Muhammad Arif Hakimi, 21 tahun.

“Arif yang dilahirkan dengan kecacatan pertuturan kini menghadapi ujian hidup yang lebih berat termasuk penyakit kaki gajah (elephantiasis) serta penglihatan yang kian merosot.

“Tambahan, isteri Ramle, Murni, juga terlantar akibat radang sendi yang menjejaskan keupayaan beliau untuk bergerak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam situasi yang mencabar itu, Ramle dikatakan terus gigih memainkan peranan sebagai ketua keluarga yang penuh pengorbanan.

Farhan berkata, sumbangan yang diberikan bertujuan membantu menampung kos rawatan dan menyokong keperluan harian keluarga yang hidup serba sederhana.

“Ramle memikul amanah besar sebagai ketua keluarga dalam keadaan yang serba mencabar.

“Beliau tetap sabar dan tabah menguruskan segalanya dengan penuh kasih sayang,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat