PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperluaskan penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan asing yang melanggar peraturan pembelian petrol termasuk mengenakan denda sekiranya didapati bersalah.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menerusi satu kenyataan media pada Isnin, susulan isu tular di media sosial berhubung beberapa kes kenderaan asing mengisi petrol RON95 di Malaysia.
Menurut beliau, antara kes yang mencuri perhatian ialah sebuah kereta berdaftar Singapura di Kulai yang disyaki menutup nombor plat untuk membeli RON95.
Menurutnya, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di utara Semenanjung.
“Perbuatan ini menimbulkan perhatian ramai,” katanya.
Puah berkata, berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961, tanpa mengira warganegara atau warga asing, kenderaan berdaftar asing hanya dibenarkan membeli RON97.
Ketika ini, harga RON97 di Malaysia ialah RM3.16 seliter, manakala di Singapura harga RON95 mencecah SGD 2.736 seliter (RM9.60).
Beliau berkata, walaupun membeli RON97 di Malaysia, harganya masih lebih murah lebih tiga kali ganda berbanding di Singapura.
“Tindakan melanggar undang-undang dan mengisi RON95 demi menjimatkan sedikit wang adalah tidak wajar serta tidak menghormati sistem dan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.
Puah turut mempersoalkan kelemahan penguatkuasaan sedia ada kerana ketika ini hanya stesen minyak dipertanggungjawabkan dalam kes sebegini, manakala pemandu tidak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12A Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau mencadangkan agar kenderaan asing yang melanggar peraturan disenarai hitam dan dilarang memasuki Malaysia sekurang-kurangnya dua tahun sebagai langkah pengajaran.
“Isu ini bukan soal ‘berkira harga minyak’ tetapi soal hormat dan integriti.
“Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelawat asing, namun mereka mesti menghormati undang-undang serta dasar negara ini,” tegasnya.







