Anwar Seru Pemimpin Dunia Henti Keganasan Di Gaza

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin dunia diseru supaya segera mengambil tindakan menghentikan tragedi kemanusiaan di Gaza, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan beliau sebagai ‘ujian terhadap nurani dan nilai kemanusiaan sejagat’.

Dalam satu video bertajuk ‘A Call to Conscience’, Anwar melahirkan rasa pilu dan bimbang terhadap kekejaman berterusan di Gaza yang mengorbankan ribuan nyawa tidak bersalah.

“Seluruh keluarga dibunuh. Kanak-kanak, termasuk bayi, terbunuh. Ada yang sedang menderita kelaparan.

“Penghinaan terhadap nyawa dan maruah manusia ini mesti dihentikan kerana ia melanggar kod moral paling asas,” katanya.

Anwar menggesa semua kerajaan yang menjunjung undang-undang antarabangsa serta menghargai nilai kehidupan agar bersatu dalam suara dan tindakan.

“Saya merayu kepada semua yang mempunyai pengaruh ke atas Israel supaya berani bertindak.

“Saya khususnya memohon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan pembunuhan segera.

“Donald Trump dan Israel mesti menghentikan pengeboman sewenang-wenangnya dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan,” tambah beliau.

Menurut Anwar, dunia kini berdepan krisis yang menuntut kepimpinan berani, bermoral dan berprinsip dalam mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan yang sering dilaungkan masyarakat antarabangsa.

“Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya berdiam diri.

“Biarlah kita dipandu oleh suara hati, membalas penderitaan dengan belas kasihan dan memperjuangkan keamanan demi kemanusiaan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan kesediaan Malaysia untuk berganding bahu dengan semua negara dari Utara ke Selatan, Timur ke Barat demi membawa keamanan kepada Gaza dan memulihkan prinsip asas kemanusiaan sejagat.

Anda Mungkin Berminat