PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tanggungjawab mengeluarkan fatwa adalah satu tugas yang luhur dan penting dalam memberikan pencerahan serta kefahaman kepada umat Islam.
Beliau menyuarakan pandangan itu semasa pertemuan bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
“Tanggungjawab mengeluarkan fatwa merupakan tugas yang luhur dan penting dalam menjawab, menjelaskan hukum demi pencerahan dan kefahaman umat,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri menekankan keperluan agar institusi fatwa bergerak secara kolektif dengan setiap fatwa yang dikeluarkan berdasarkan maklumat yang diperoleh serta analisa mendalam oleh pakar yang berkelayakan.
Beliau turut berkata, fatwa perlu selari dengan realiti setempat dan zamannserta mampu menangani isu semasa secara berkesan.
“Umat perlukan fatwa yang menepati realiti setempat dan juga zaman selain mewujudkan kemahiran baru untuk berinteraksi dengan permasalahan dan isu semasa supaya bagi manfaat umum,” tambah beliau.
Pertemuan itu turut menjadi medan perbincangan mengenai perkembangan ilmu dalam bidang fiqh, maqasid syariah serta usaha memperkukuh penyelidikan berkaitan fatwa.
Anwar menyifatkan dialog tersebut sebagai langkah penting dalam memperkasa institusi fatwa sebagai sumber rujukan yang sahih dan relevan bagi masyarakat masa kini.








