Elak sertai himpunan esok, jerebu makin teruk – Pemuda Amanah

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghadiri mana-mana perhimpunan terbuka di ibu kota esok susulan tahap kualiti udara yang tidak sihat akibat jerebu yang semakin memburuk.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah melepasi paras 140 di beberapa kawasan Lembah Klang, menjadikan udara ketika ini berada dalam kategori tidak sihat untuk aktiviti luar.

Menurut Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, pendedahan berterusan kepada udara tercemar boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, terutamanya kepada golongan berisiko tinggi.

“Warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mengalami masalah pernafasan seperti asma perlu mengelakkan kawasan terbuka dalam keadaan jerebu ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Hazmi turut menggesa orang ramai untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan diri berbanding menyertai perhimpunan yang tidak membawa manfaat kesihatan awam.

“Jangan korbankan kesihatan anda demi agenda politik individu yang gilakan kuasa,” tambahnya lagi.

Himpunan ‘Turun Anwar’ dijadualkan berlangsung esok di sekitar ibu negara, dengan jangkaan kehadiran seramai 15,000 orang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat