PETALING JAYA: Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung esok tidak akan menjejaskan kedudukan Perdana Menteri, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Sebaliknya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus menunggu dalam penantian panjang untuk kembali berkuasa.
“Himpunan itu tidak akan memaksa Anwar letak jawatan. Yang kalah nanti Tun M dan Muhyiddin sebab mereka kena tunggu PRU-16. Terlalu lambat untuk orang yang ghairah mahu kembali berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Puad turut membayangkan bahawa PAS, sebagai penganjur utama, lebih ‘berdebar’ berbanding Anwar kerana kejayaan himpunan itu bergantung sepenuhnya kepada kehadiran penyokongnya.
Katanya, sasaran kehadiran 500,000 orang meletakkan tekanan besar ke atas PAS.
“90% kehadiran bergantung kepada ahli PAS. Maka PAS lebih fokus kepada jumlah yang hadir. Maruah PAS terjejas jika jumlah 500 ribu tidak tercapai,”
“Anwar sendiri pernah mengetuai demonstrasi besar menuntut pengunduran Tun Mahathir pada 1998, namun tidak berjaya menggugat Barisan Nasional ketika itu.
“Hatta PRU 1999 dan PRU 2004, BN tetap menang majoriti dua pertiga,” tegasnya.
Puad berkata, tanpa penyertaan UMNO, perhimpunan itu sukar memberi impak besar, berbeza dengan himpunan ICERD pada 2018 yang menyaksikan penyatuan UMNO dan PAS berjaya menekan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
“Ketika ICERD, UMNO dan PAS bersatu. Himpunan raksasa berjaya dan kerajaan PH 1.0 terpaksa tunduk. Tapi esok, UMNO tak sertai,” katanya lagi.
PAS sebelum ini mengumumkan Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar akan diadakan di ibu negara dengan sasaran kehadiran 300,000 hingga 500,000 peserta.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menyifatkannya sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Baca juga: